MENU

Daerah Bera terletak kira-kira 38 kilometer di hilir Bandar Temerloh. Ia merupakan daerah yang ke sebelas diiystiharkan dalam Negeri Pahang Darul Makmur pada 1 Februari 1992, dengan keluasan 2,214 kilometer persegi dan mengandungi dua mukim iaitu Mukim Triang dan Mukim Bera. Ia telah diwartakan pada 1 November 1991. Secara amnya, Daerah Bera merangkumi lima penempatan penduduk seperti Kampung Tradisional, Kampung Baru, Felda, Penempatan Orang Asli dan Penempatan Ladang Swasta.

Pentadbiran Tanah dan Daerah Bera yang beroperasi sepenuhnya sejak tahun 1993 untuk membangunkan Daerah Bera dengan bantuan agensi-agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan IADP Pahang Barat. Selain dari itu, terdapat lima Pihak Berkuasa Tempatan yang menjalankan aktiviti mengikut Akta Kerajaan Tempatan yang juga merupakan Pusat Pertumbuhan dan Perkampungan Daerah Bera iaitu Majlis Tempatan Triang, Majlis Tempatan Mengkuang, Majlis Tempatan Kemayan, Majlis Tempatan Kerayong dan Majlis Tempatan Mengkarak.