MENU

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan Portal PBTPay secara maya. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri dan juga Datuk Zainal Abidin Bin Abu Hassan, Ketua Setiausaha KPKT.

PBTpay merupakan portal yang dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan bagi membolehkan pembayar cukai taksiran daripada seluruh Semenanjung Malaysia membuat semakan dan sekaligus membuat bayaran secara atas talian. Pemilik harta di mana-mana PBT boleh membuat bayaran cukai taksiran secara pukal berbanding secara berasingan seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Pembangunan portal ini sejajar dengan inisiatif kerajaan ke arah counterless dan ia juga turut menyumbang kepada penyelesaian risiko jangkitan COVID-19 di mana rakyat tidak digalakkan untuk keluar rumah dan boleh melaksanakan urusan secara atas talian (online). Pelancaran PBTPay amat tepat pada masanya kerana ini merupakan sebahagian daripada norma baharu dalam kehidupan masa kini selain dapat menjimatkan kos kerana orang ramai boleh melaksanakan transaksi tanpa terhad kepada waktu pejabat.

PBTPay juga merupakan salah satu elemen dalam inisiatif City Gateway@KPKT yang sedang dibangunkan bagi merangkumi semua perkhidmatan KPKT yang berkait rapat dengan orang ramai.

PBTPay dijangka akan digunakan oleh semua PBT bagi kemudahan bayaran cukai taksiran secara individu atau pukal. Modul PBTPay juga akan diperluaskan kepada lain-lain modul pembayaran seperti kompaun, lesen dan lain-lain sistem di KPKT yang menggunakan kaedah pembayaran secara bersepadu.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 23 November 2020 - 10:20am