MENU

ROMPIN 6 Feb. - Keadaan kesihatan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang kepenatan semasa menyampaikan pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun baginda yang ke-82 kepada para penerima pingat di Istana Abu Bakar, Pekan Sabtu lalu kini semakin baik.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tahap kesihatan ayahanda berada dalam keadaan baik setelah menerima rawatan daripada doktor peribadi dan mendapat rehat yang secukupnya.

"Alhamdulillah kerana semuanya selamat. Baginda kini dalam perjalanan ke United Kingdom untuk mengadakan pertemuan dengan doktor di sana bagi pandangan mereka tentang keadaan kesihatan.

"Saya berharap rakyat negeri ini tidak perlu bimbang dengan keadaan Sultan Pahang dan sama-sama berdoa semoga kesihatan baginda kembali pulih seperti biasa," titah Tengku Abdullah.

Baginda bertitah demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada 247 mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Teluk Gading di sini hari ini. - UTUSAN

Kemaskini Terakhir: Rabu, 17 Oktober 2018 - 4:02pm