MENU

Pahang Tidak Akan Laksana PKPB Esok

Pahang memutuskan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membuka semula aktiviti dan sektor ekonomi tertentu esok seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan di bawah tiga fasa terakhir MCO akan dikekalkan sehingga kajian kerajaan negeri mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi selesai.

"Perkara ini akan dibincang secara lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri petang Jumaat, 8 Mei 2020.

" Sepertimana semua maklum, negeri Pahang kini sedang menghadapi kemunculan kluster baharu. Oleh itu, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya.

" Justeru, Kerajaan Pahang sedang memperhalusi langkah-langkah pelaksanaan PKPB supaya apabila mana-mana sektor dibuka tidak akan menyebabkan penularan baharu,"tulisnya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Walaupun begitu, Wan Rosdy memberitahu
pihaknya tetap menyatakan sokongan terhadap pengumuman oleh Perdana Menteri mengenai PKPB yang akan bermula 4 Mei 2020.

"Bagaimanapun, Kerajaan Pahang perlu mengkaji dan memperhalusinya agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan wabak pandemik COVID-19 di Pahang.

"Sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, masih kekal," tulisnya.

Sumber : Wan Rosdy Wan Ismail

Last Updated: Tuesday, 13 October 2020 - 3:42pm